Cara-cara melestarikan Bahasa Melayu
Menurut Kamus Pelajar, melestarikan bermakna memelihara sesuatu supaya kekal seperti sediakala. Dewasa ini, Bahasa Melayu tidak lagi diutamakan oleh orang Melayu kerana mereka tidak yakin dengan penggunaan bahasa itu. Hal ini tercetus kerana semakin ramai orang Melayu menggunakan Bahasa Inggeris dan mempunyai pemikiran bahawa Bahasa Melayu itu tidak penting bagi mereka dalam kehidupan harian. Adakah ini menyifatkan orang Melayu sebagai mengada-ngada terhadap bahasa Ibundanya sendiri ataupun bahasa Melayu itu tidak berkualiti lagi? Apakah cara-cara yang boleh dipertengahkan untuk melestarikan Bahasa Melayu?
Indikator saya yang pertama adalah mempertingkatkan diri dalam Bahasa Melayu dengan usaha dan kegigihan sendiri. Sebagai seorang individu, kita harus yakin dengan penggunaan bahasa kita. Jika tidak, sesesorang itu akan hilang rasa jati diri terhadap bangsa Melayu walaupun mengakui diri mereka berbangsa Melayu. Kesan jangka panjangnya adalah mereka tidak akan fasih apabila bertutur dalam bahasa itu dan ia akan mengalirkan pandangan orang ramai terhadap bangsa Melayu sebagai tidak bagus. Sebagai contoh, seorang individu itu boleh bermula dengan menggunakan Bahasa Melayu apabila bertutur dengan sesiapa sahaja ataupun pada setiap peluang yang ada. Dengan itu, mereka akan rasa bangga dengan bahasa mereka sendiri. Walaupun di permulaan mereka akan berdwibahasa, lama-kelamaan ia akan menjadi satu kebiasaan bagi mereka untuk bertutur dalam Bahasa Melayu. Bak kata pepatah alah bisah tegal biasa. Selain cara itu, memupuk sifat membaca juga mempunyai faedahnya. Ia bukan sahaja akan membuat pemahaman kita lebih baik malah ia juga akan memperkayakan kosa kata Bahasa Melayu kita.
Walaupun cara-cara ini adalah dengan usaha sendiri, ia lebih bagus jika mereka dididik pada usia yang awal untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Saranan ini berkaitan dengan indikator saya yang kedua. Cara ini memerlukan sokongan dan pendidikan ibu bapa dan keluarga. Pihak ini memainkan peranan yang penting kerana mereka adalah orang yang terdekat kepada individu itu. Jika tiada bimbingan yang sempurnah pada umur yang awal, ia boleh menyebabkan kesan jangka panjang seperti kesusahan untuk memupuk sifat itu dalam diri mereka apabila mereka kelak tua kerana mereka akan mempunyai perspektif dan ingin membuat cadangan sendiri. Pepatah melayu pernah mengatakan bahawa jika melentur buluh biarlah dari rebung. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mendedahkan dan menanamkan minat terhadap bahasa melayu di dalam diri anak-anak mereka dengan melibatkan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Bahasa Melayu, seperti pesta-pesta yang dikendalikan oleh sekolah atau kelab masyarakat. Selain itu, jika ibu bapa mula untuk bertutur dalam Bahasa Melayu, anak-anak mereka juga akan turut melakukan sedemikian. Seperti kata pepatah, bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Indikator saya yang ketiga adalah peranan sekolah dan badan-badan yang relevan seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS). Pihak sekolah boleh lebih mempromosikan Bahasa Melayu dengan menimbulkan kesedaran keistimewaan bahasa itu. Seperti contoh, pihak sekolah boleh menganjurkan sebuah pesta seperti 'Mother Tongue Fortnight'. Faedahnya adalah ia akan memberikan pendedahan pada Bahasa Melayu bukan sahaja kepada sasaran utama iaitu pelajar tetapi juga kepada guru-guru yang bukan berbangsa Melayu. Aktviti-aktiviti yang dijalankan mungkin boleh memberi mereka pendedahan kepada permainan, pakaian dan makanan tradisional Melayu. Mereka bukan sahaja akan mempelajari bahasa bahkan budaya bangsa Melayu juga. Dengan ini, ia akan melambangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang dinamik dan sentiasa berkembang. Selain aktiviti tentang budaya, sekolah juga boleh meraikan pertandingan-pertandingan dalam bahasa melayu seperti, sahibba, penulisan karangan ataupun bahas. Ini akan melambangkan jati diri bangsa Melayu. Sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti-aktiviti ini juga boleh dilakukan di dalam atau luar kelas oleh guru-guru mereka. Misalnya, mereka boleh berdamawisata ke tempat-tempat seperti Pusat Taman Warisan Melayu Singapura. Tegasnya bahawa pendedahan ini adalah seperti suntikan semangat kepada pelajar-pelajar itu untuk menggunakan bahasa Melayu. Membuat pengajaran menarik melalui pengunaan video atau alat-alat teknologi juga adalah lagi satu cara untuk mendidik pelajar-pelajar kini. Lebih-lebih lagi, golongan muda sekarang amat terdedah kepada teknologi serba pantas. Lantas itu, ia akan memperjuangkan minat dan akan mempertingkatkan diri mereka dalam bahasa Melayu.
Akhir sekali, walaupun semua pihak yang telah dihuraikan itu semua penting, tanpa peranan dan sokongan sebuah negara, usaha ini tidak akan kemana. Sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa, kaum dan ugama, kita haruslah mempromosikan dan melambangkan bangsa kita supaya reputasi kita tidak terjejas. Sudah tentu objektif cara ini memerlukan kerja sama semua warga negara tetapi pihak kerajaan juga diperlukan untuk membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Sebagai contoh, di dalam negara, penganjuran sebuah Majlis Bahasa Melayu boleh diadakan untuk membuat pendedahan Bahasa Melayu kepada lebih ramai orang. Bulan Bahasa yang selalu dianjurkan pada setiap tahun boleh dibuat lebih menarik dan gah supaya ia akan mewujudkan impak yang lebih besar kepada orang ramai. Kempen-kempen ini boleh dilambangkan melalui media massa dan teknologi. Orang ramai juga boleh emnyertai peraduan dalam Bahasa Melayu seperti berpidato. Di samping itu, pusat-pusat perpukastaan nasional boleh mengadakan sesi membaca buku untuk kanak-kanak supaya ia dapat memupuk minat membaca dalam diri mereka. Sehubungan dengan itu, pihak-pihak seperti Berita Harian boleh menganjurkan pesta dan peraduan menulis untuk orang ramai. Mereka boleh menjemput penulis-penulis tempatan untuk menunjukkan bakat mereka. Sesungguhnya pendedahan ini akan membuat lebih ramai orang menjadi pencita Bahasa Melayu dan mencintai khazanah Bahasa Melayu. Ia penting bagi cara-cara ini untuk menjelaskan kepada orang ramai bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa lingua franca, bukan sahaja Bahasa Inggeris. Selain itu, peranan luar negara juga penting. Tamsilnya, mereka boleh berkoleborasi untuk membuat pengajuran bagi Bahasa Melayu. Ini akan lebih meningkatkan martabat Bahasa Melayu.
Dalam karangan ini, saya telah membincangkan cara-cara untuk melestarikan Bahasa Melayu dan juga kesan jangka panjang jika Bahasa Melayu tidak lagi digunakan. Saya akur bahawa sikap masyarakat Melayu kini boleh menjejas kemajuan Bahasa Melayu jika bahasa itu tidak dipertingkatkan dan diutamakan oleh mereka. Jika Bahasa Melayu tidak dikekalkan, ia akan terus hapus dan lama-kelamaan tiada orang akan menggunakan dan akan tahu kekayaan bahasa Melayu. Akan tetapi, saya pasti bahawa saranan saya ini akan membuat lebih ramai orang Melayu yakin dengan penggunaan Bahasa Melayu. Tidak lagi dinafikan bahawa cara-cara ini hanya akan berkesan jika orang Melayu memilih untuk mula berbahasa Melayu. Oleh yang demikian, usaha seorang individu untuk mula menggunakan Bahasa Melayu itu adalah kunci utama unutk melestarikan bahasa yang indah itu.
No comments:
Post a Comment